Friday, September 14, 2007

Tindakan Bodoh Dari Parti Pembangkang Merusuh.






Pengikut parti pembangkang menggunakan taktik lama dengan mencetuskan rusuhan apabila pihak berkuasa polis tidak membenarkan mereka berceramah di Pantai Batu Buruk.
Ini adalah satu taktik yang sengaja dirancang oleh parti pembangkang yang gagal membangunkan nageri itu.

Berikut adalah laporan dari media massa Bahasa Malaysia.

Berita Harian.

KUALA TERENGGANU: Empat anggota polis termasuk tiga daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), cedera diserang dan dibaling termasuk dengan bom api, dipercayai oleh penyokong parti pembangkang selepas polis mengarahkan mereka bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Burok dan Jalan Sultan Mahmud di sini, malam kelmarin.
Seorang daripada empat anggota polis itu, Azmi Husin, 29, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera di tangan terkena kaca yang dibaling perusuh di tempat letak kenderaan Hotel Permai Inn. Tiga lagi anggota polis dirawat di hospital yang sama sebagai pesakit luar.

Dua lagi lelaki, masing-masing berumur 21 hingga 38 tahun turut cedera di bahu dan leher akibat terkena tembakan dilepaskan seorang konstabel yang mempertahankan diri dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat cedera di kepala terkena balingan batu.
Polis menahan 23 lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun kerana membaling batu, botol, kayu dan bom api ke arah anggota polis serta merosakkan harta benda awam termasuk membakar Jalur Gemilang pada perhimpunan haram bermula 10 malam itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata kira-kira 11.45 malam, seorang anggota polis menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukulnya dengan kayu.

“Ketika hendak beredar, seorang lagi lelaki memegang bahunya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada Cawangan Khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh.

“Penyerang terbabit berterusan menyerang anggota berkenaan hingga terkena kepala menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri. Tembakan itu menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan dia sempat lari ke arah pasukan FRU di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.

Ayub menjelaskan, polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu kerana terletak berhampiran kawasan perumahan pegawai kerajaan, yang dianggap tidak sesuai.

Sebelum ini, katanya, polis memanggil penganjur yang bertanggungjawab membawa Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, serta beberapa penceramah lain termasuk Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Triang, Leong Ngah Ngah dari DAP, bagi membincangkan soal permit.

“Kita bercadang untuk meminta mereka memindahkan kawasan ceramah ke Rusila. Namun sehingga jam 6 petang kelmarin, wakil mereka gagal hadir untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin) polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan menyebabkan kami mengambil langkah pencegahan di kawasan perhimpunan itu termasuk mengadakan sekatan jalan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 10 malam, antara 300 hingga 400 orang cuba merempuh sekatan berkenaan dengan bertindak agresif terhadap kira-kira 350 anggota polis dan FRU dengan membaling pelbagai objek termasuk bom molotov, kayu, besi, botol dan batu.

Pada masa sama, polis turut menahan sebuah bas di Jalan Temasya Batu Burok yang cuba masuk ke kawasan kejadian dan perbincangan diadakan supaya mereka bersurai namun mereka enggan menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air.

Ayub berkata, polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali meminta perusuh bersurai, tetapi keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak lebih agresif.

“Melihat keadaan yang semakin tegang, polis mengambil pendekatan berundur bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku, tetapi keadaan itu diambil kesempatan oleh perusuh untuk memusnahkan harta benda awam termasuk mencabut pokok hiasan, pasu bunga dan lampu isyarat.

“Keadaan reda kira-kira jam 2 pagi dengan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

Sementara itu, polis semalam mendapat perintah tahanan reman ke atas empat lelaki bagi membantu siasatan termasuk yang cedera terkena tembakan dan dirawat di HSNZ.

Lelaki yang cedera berusia 21 tahun dari Kampung Masjid Pasir Panjang, di sini direman lima hari mulai semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, manakala tiga lagi direman antara dua hingga empat hari.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki yang cedera itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Muhd Rusli Ahmad di HSNZ, manakala tiga lagi dibawa ke Mahkamah Majistret.Beliau berkata, 17 lagi lelaki berusia antara 20 hingga 30-an yang ditahan malam kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Utusan Malaysia.

KUALA TERENGGANU 9 Sept. – Kira-kira 750 orang dipercayai pengikut parti pembangkang merusuh dan menyerang polis selepas mereka diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di sini, malam tadi.

Dalam rusuhan yang dianggap terburuk sejak gerakan reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 itu, polis bertindak menahan 23 orang daripada mereka yang berumur lingkungan 20-an hingga 30-an.

Daripada jumlah itu, empat orang termasuk seorang yang berumur 21 tahun dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat cedera terkena tembakan, ditahan reman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, kumpulan perusuh terbabit bertindak liar dan ganas membaling batu, besi, kayu dan botol menyebabkan tujuh orang termasuk empat anggota keselamatan cedera.

Malah, perusuh turut membaling bom api sehingga menyebabkan kerosakan awam dan harta benda penduduk bernilai kira-kira RM1 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob pada sidang akhbar hari ini berkata, seorang polis berpangkat konstabel terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan dirinya setelah dipukul oleh 20 lelaki ketika dia mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh cedera.

“Tembakan itu berjaya menyuraikan penyerangnya dan membolehkan anggota itu menyelamatkan diri dengan menuju ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Berhubung perhimpunan itu, Ayub menjelaskan, pihaknya ada menerima permohonan tetapi permit tidak dikeluarkan kerana kawasan yang dicadang penganjur tidak sesuai.
Katanya, kawasan itu bukan sahaja sempit tetapi terletak berdekatan dengan sebuah kawasan perumahan pegawai kerajaan.

Ceramah itu dijadual menampilkan Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP.

“Kita panggil penganjur perhimpunan untuk membincangkan soal permit dan polis mencadangkan supaya perhimpunan itu dipindahkan ke Rusila di Marang.“Namun, sehingga pukul 6 petang semalam, wakil penganjur tidak hadir untuk membincangkan perkara itu dan oleh itu, permit tidak dikeluarkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Ayub, kira-kira pukul 9 malam polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan dengan 250 orang berkumpul di kawasan belakang Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan 500 orang lagi di hadapan Hotel Permai Inn.

Katanya, ia menyebabkan polis terpaksa mengambil langkah pencegahan mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk dan jalan menuju ke Jalan Sultan Mahmud.

Menurutnya, dalam sekatan itu, polis menahan sebuah bas di Jalan Temasya, Batu Buruk menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU campur tangan.

Katanya, keadaan semakin meruncing pada kira-kira pukul 10.30 malam sehingga memaksa polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali untuk meminta perusuh bersurai.

Namun, jelas beliau, keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak liar dan ganas termasuk membaling bom molotov memaksa pihak polis berundur dan kesempatan itu digunakan oleh perusuh untuk merosakkan harta benda awam.

Katanya, seramai 350 anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Pasukan keselamatan katanya, terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan meriam air terhadap kumpulan perusuh itu dan keadaan hanya reda kira-kira pukul 2 pagi.

Menurutnya, dua lelaki berumur 21 dan 38 tahun yang terkena tembakan ketika menyerang anggota polis tersebut cedera di bahagian bahu dan leher kini ditahan di HSNZ di sini.

Selain itu, tambah beliau, seorang anggota FRU dan seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke hospital sama akibat kecederaan dipercayai terkena kaca dan batu.

Katanya, polis juga akan membuka kertas siasatan berhubung kes anggota polis melepaskan tembakan selain menyiasat penganjur perhimpunan itu.

Ayub berkata, lelaki yang dirawat di HSNZ itu ditahan reman lima hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Katanya, seorang lagi direman empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 148 kanun sama kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan.

Sementara dua orang lagi direman tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

No comments: