Written by TepakBersulam
www.tepakbersulam.com
Ramadhan Al-Mubarak sentiasa berlabuh di setiap hujung tirai tahun dengan warna - warni dan kepahaman pengertian yang tersendiri.Berbeza dengan zaman kanak-kanak ku dahulu setiap kali selepas terawih kami berkumpul di kawasan lapang yang hanya disinari api dari corong-corong pelita dan bukannya nion yang berkelip dari kuasa eletrik serba kemodenan.
Hari ini anak-anak berlari di jalan-jalan raya kerana, itu sahaja tanah lapang yang ada di hadapan rumah mereka. Sekali sekala terpaksa berlari ke tepi jika ada kereta yang lalu melintasi. Entah anak siapa kita pun kurang pasti melainkan yang kita tahu mereka adalah anak jiran kita.
Lain ketika di kampung dahulu , kita mengenali setiap anak-anak yang bermain di kawasan yang lapang walaupun gelap kerana yang pastinya mereka adalah anak Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang dan juga cucu Wan Jarah, cucu Wak Katiman dan mungkin anak-anak Pak Chik yang baru pulang dari Kuala Lumpur.
Ramadhan Al-Mubarak sering membuat ku termenung sendirian di meja kopi hadapan rumah ku sambil merenung pokok bonzai dan hijauan lain yang di tanam dalam pasu sambil mendengar rintihan air terjun buatan manusia.
Walaupun, aku rindu suasana yang gelap di dalam kebun getah dan bunyi nyanyian sang cengkerik. Mungkin anak-anak sekarang tidak pernah tahu pada waktu ku di kampung dahulu bunyi burung tatibau sentiasa ditunggu kerana itu menandakan masuknya waktu berbuka puasa.
Namun yang paling aku rindu ialah deheman batuk ayah sambil menghisap rokok tiga limanya di anjung rumah dan ketika itu aku sedang duduk di ruang gelap di atas tangga di hadapan rumah.
Aku juga merindui akan suaranya memanggil ku sesekali sekala apabila dia merasakan mahu berbual dengan ku.
Ayah hanya boleh berbual dengan ku sahaja kerana anak-anaknya yang lain agak sukar untuk berinteraksi dengannya. Lagipun aku anak yang sulung dan aku rajin melayan dan mendengar rintihannya dan mendengar nasihatnya yang kadangkala agak rethorik.
Bagi ku jika aku tidak mendengar segala ini siapa lagi yang akan mendengar. Tapi hari ini aku tidak akan lagi mendengarnya. . Aku tidak lagi dapat berbuka puasa dengannya dan melihat dia memakan makanan kesukaannya, rojak mee, di mana makanan ini menjadi makanan kesukanan ku pula dan wajib bagiku pada setiap waktu berbuka di hari yang pertama.
Ayah telah pulang ke rahmatullah pada pertengahan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun 2004. Kini sudah tiga tahun aku tidak menyambut Ramadhan bersamanya. Ramadhan bersama ayah yang sentiasa ku rindui.
Walaupun sudah tiga tahun berlalu wajahnya masih segar bermain di fikiran ku . Namun bagiku semuanya baru saja berlaku semalam.
Namun hakikatnya kini sudah tiga tahun juga lamanya aku tidak lagi merayau-merayau ke lorong-lorong masjid India untuk mencari jubah raya, baju kemeja, seluar , songkok dan kasut raya untuknya.
Setiap penghujung Ramadhan hati ku merasa sayu kerana tidak lagi dapat membeli barangan tersebut seperti lazimnya dahulu.
Aku juga tidak lagi dapat mendengar takbir raya yang nyaring dari ruang sembahyangnya. Aku juga tidak akan dikejutkan lagi dengan takbir raya di subuh Aidilfitri dari tempat solatnya. Aku rindu akan suaranya.
Seawal subuh dia dan aku akan keluar rumah untuk menziarahi pusara ayah dan ibu serta abang dan kakaknya. Setiap tahun juga dia berpesan kepada ku agar mengingati kedudukan pusara ini dan jika dia tiada lagi. Ziarahilah pusara-pusara ini. Aku sangat merindui sat-saat ini. Kini tiada siapa yang akan membawa aku menziarahi pusara-pusara itu lagi dan aku tidak pasti akan dapat melakukanya sendiri.
Selepas ziarah pusara itu, kami akan ke masjid bersama-sama untuk menunaikan solat Aidilfitri. Aku akan merindui saat ini sepanjang sisa-sisa kehidupan ku.
Tiga tahun aku tidak pulang pada hari raya pertama dan akan pulang hanya pada hari raya ketiga kerana di kampungku akan mengadakan kenduri tahlil pada pagi raya ketiga. Aku akan pastikan aku akan sentiasa akan pulang dan bersama-sama orang kampung berhari raya di tanah pusara dan berada di sisi pusara ayahku dihari ini.
Ramadhan Al-Mubarak akan sentiasa membawa kenangan ku padanya. Bila aku terlalu merinduinya aku akan menghidupkan enjin kereta ku dan membawanya tanpa arah dan aku akan menangis memanggilnya dan menyatakan bahawa aku rindu padanya.
Setelah reda aku akan pulang dan melakukan sembahyang sunat dan mendoakan agar roh ayah ku yang ku sayangi ditempatkkan bersama-sama para ambiah dan orang-orang yang beriman serta jauhi nya dari seksa kubur.
Pasti tidak dapat aku melupakan sepanjang kehidupan ku akan saat akhir bersama ayah yang ku sayangi ini, dua minggu terakhir apabila aku dan adik-adik meninggalkan segala urusan di dunia untuk bersamanya di saat dia sememangnya memerlukan kekuatan untuk pulang ke sisi Allah S.W.T.
Ayah mengidap penyakit kencing manis dan lukimia.
Aku juga tidak akan melupakan janji-janji ku padanya dan kata-kata akhirku kepadanya ketika dia sedang menghadapi persimpangan untuk kembali ke Alam Barzakh dan meninggalkan dunia tumpangan ini.
Bisik ku ditelinganya ," Pulanglah ayahku, lupakan segala urusan dunia ini dan pulanglah dengan tenang dan kami redha akan kepulangan mu. Segala tanggungjawab mu akan ku ambil alih , lupakanlah dunia ini. Pulanglah ayah ku ke alam kekal kita".
Lantas aku mencium kakinya memohon ampun atas segala dosa ku dan beredar pulang ke Kuala Lumpur kerana terpaksa bertugas setelah dua minggu di kampung. Mungkin rezeki ku hanya sekadar di situ bersamanya dan tidak dapat menatap wajahnya kembali namun aku puas kerana telah melakukan segala yang terbaik buatnya.
Sehari di Kuala Lumpur , setelah selesai bersahur aku menerima panggilan dari adik ku yang membawa berita yang tidak akan aku lupakan selama-lamanya. Ayah telah pulang ke rahmatullah meninggalkan kami semua.
Aku tersentak melutut kaku lantas hati kecil ku berkata daripada mu kau datang dan kepadamu jua kau kembali. Aku redha akan kepulangan mu dari menanggung seksa kesakitan di dunia ini.
Tahun ini aku tetap akan merindui saat kita bersama melalui Ramadhan Al-Mubarak. Jauh di lubuk hati ku berkata dan dapat merasakan ayah sayang pada ku dan ayah menyanyangi kami sekeluarga sebagaimana ku dan semua ahli keluarga menyanyanginya.
Namamu akan terus bersemadi selagi jasad ku dikandung badan . Kasih kami tidak akan pudar dan kenangan bersamamu akan sentiasa segar selama-lamanya . Kami sentiasa merinduimu . Ayahanda ku Sgr Abu Bakar Bin Md Yatim no angota Polis Di Raja Malaysia 4760 - Al Fatehah. Amin.
Wednesday, September 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Well said.
Post a Comment