Rembau -- Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak mengambil pendekatan popular sebaliknya berpolitik secara matang dan bertanggungjawab untuk kepentingan semua pihak.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin ketika memberi ingatan itu berkata jika mereka mempunyai pandangan tertentu seperti mahukan lebih banyak kerusi pada pilihan raya, ia perlu dibuat melalui saluran dalaman parti.
"Saya langsung tidak bersetuju dengan parti komponen yang buat tuntutan seperti Parti Progresif Penduduk (PPP). Saya nasihatkan, kalau ada pendapat daripada Pemuda PPP yang ingin lebih banyak kerusi, ia boleh dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN atau mesyuarat Exco Pemuda BN.
"Hal sebegini sepatutnya tidak wajar diutarakan secara terbuka melalui pentas perhimpunan agung parti kerana ia merupakan tindakan mencari populariti dan amat mudah dilakukan", katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda UMNO Bahagian Rembau dan UMNO Cawangan Kampung Gadong di sini, Ahad.
Kelmarin, Ketua Pemuda PPP, T Murugiah, ketika berucap pada Konvensyen Pemuda parti itu di Kuala Lumpur mendakwa BN tidak menjadi sahabat yang baik dan setia kepada PPP yang membuat pengorbanan besar demi perpaduan dan kepentingan negara ketika menyertai BN pada 1972.
Murugiah mendakwa, PPP kini dianaktirikan dan semakin dilupai dan menyifatkan BN tidak jujur kerana enggan menunaikan janji dan memenuhi permintaan parti itu yang membabitkan pembahagian beberapa kerusi pilihan raya yang kini diambil oleh parti komponen lain.
Khairy Timbalan Pengerusi Pemuda BN seterusnya berkata sebagai pemimpin parti, mereka tidak sewajarnya memainkan sentimen tanpa tanggungajwab.
"Perkara seperti ini bukan diutarakan dalam suasana perhimpunan agung yang kita semua tahu suasananya mencari populariti, dia mahu lontar idea-idea yang dapat sambutan dari bawah.
".. memang senang dan kita pun boleh buat, ramai orang suka dan akan sambut, tetapi kita sebagai pemimpin perlu matang dan jangan main sentimen tanpa tanggungjawab", ujarnya.
Monday, October 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment