Tuesday, October 9, 2007

Tegur PM demi kebaikan

MUAR – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima teguran berhubung kerajaan di bawah pemerintahannya adalah satu sikap yang murni ditunjukkan pemimpin itu.

Menurut beliau, tindakan itu membuktikan Perdana Menteri seorang yang amat prihatin dalam tugasnya mentadbir negara ini apatah lagi masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya, kaum dan agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tindakan Abdullah itu sekali gus dapat mengelak sebarang tohmahan atau fitnah yang sering disuarakan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya dalam laman blog.

‘‘Kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan satu sikap beliau yang murni, dan beliau jelas terbuka dalam menerima segala bentuk komentar mengenai dirinya dan juga kerajaan di bawah pimpinannya.

‘‘Tindakannya itu juga bukanlah menunjukkan kita mempunyai banyak masalah, sebaliknya ia adalah cara yang betul untuk negara menuju ke arah Wawasan 2020 iaitu tidak boleh menerima kritikan atau pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan Hari Raya, Tadarus dan Khatam al-Quran dan berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, dekat sini malam tadi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengulas kenyataan Perdana Menteri yang meminta semua pemimpin politik dan ahli Kabinet supaya memberitahu perkara sebenar kepadanya walaupun ia mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima oleh beliau. Sehubungan itu, kata Muhyiddin, pandangan Perdana Menteri itu seharusnya dilihat dari sudut yang positif untuk mana-mana pihak meluahkan pandangan mereka terhadap kerajaan.

Katanya, mereka yang ingin berbuat demikian iaitu menyuarakan kebenaran perlulah menghormati ketelusan Perdana Menteri itu dengan meluahkannya dengan cara tertib, hormat, ikhlas serta mematuhi etika yang ditetapkan.

No comments: