KUALA LUMPUR - Warga kota mula meninggalkan bandaraya ini hari ini untuk pulang ke kampung masing-masing bagi mengelakkan kesesakan selain ada yang terpaksa balik awal kerana tiket pengangkutan awam pada tarikh hampir dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri Sabtu ini telah habis ditempah sebelum puasa lagi.
Tinjauan Bernama di hentian bas Puduraya dan hentian Duta mendapati kebanyakan yang pulang hari ini ialah pelajar institusi pengajian tinggi dan suri rumah.
Maizura Meor Arifin, 18, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata tiket bas yang telah habis dijual pada tarikh hampir dengan Hari Raya memaksa beliau pulang ke kampungnya di Tapah, Perak hari ini.
Bukan hanya golongan pelajar, malahan pengurus di sebuah syarikat swasta Hisham Othman, 35, juga membuat keputusan untuk pulang awal bagi berhari raya di Alor Setar.
"Saya sudah memohon cuti awal dan diluluskan. Jadi kami sekeluarga berpeluang pulang ke kampung awal," katanya.
Suri rumah, Azlin Farina Hamzah, 31, yang menyambut hari raya di Kluang, Johor pada mulanya ingin balik lebih lewat ke kampung untuk menguruskan keperluan di rumahnya di Kepong.
"Tetapi tiket bas sudah habis. Yang masih ada cuma hari ini. Tetapi bagus juga balik awal untuk mengelakkan kesesakan," katanya yang membawa seorang anak yang masih belum bersekolah untuk pulang terlebih dahulu ke kampung hari ini.
Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Nasriq Mazlan berkata beliau balik awal kerana kebanyakan pensyarah menghabiskan atau menggantikan kuliah lebih awal bagi membolehkan para pelajar pulang ke kampung.Siti Safura Ahmad, 22, pelajar UiTM juga gembira kerana kebanyakan kelas sudah diganti lebih awal dan ini membolehkan beliau dan rakan-rakannya pulang ke kampung dengan tenang.
"Ada juga rakan-rakan yang balik lebih awal sebelum kelas habis diganti kerana tiket untuk ke kampung mereka habis," katanya yang menunggu bas untuk pulang ke Kluang.
Sementara itu orang ramai masih berpeluang untuk pulang berhari raya kerana beberapa kaunter masih menjual tiket bas tambahan untuk ke destinasi tertentu, kebanyakannya ke utara.
Penjual tiket bas Bandar Ekspres Noramira Abdul Razak berkata 100 bas tambahan disediakan syarikatnya adalah bas persiaran yang mempunyai permit dan dalam keadaan yang baik.
Mohamad Hafiz Mohamad Yusof, penjual tiket Betung Ekspres berkata tiket untuk ke Kulim menggunakan bas asal masih ada, manakala untuk ke Alor Star dan Sungai Petani penumpang boleh menaiki bas tambahan.
Beberapa penjual tiket yang menghampiri orang ramai di sekitar hentian juga menunjukkan pas pengenalan kerja masing-masing ketika mahu menjual tiket bagi mengelakkan mereka dicop sebagai "ulat.
"Peniaga pasar malam, Zawawi Ahmad, 65, berkata beliau mengelak untuk membeli tiket daripada ejen syarikat bas ekspres atau "ulat" kerana harga tiket yang sangat mahal.
"Tetapi setakat ini saya tidak pernah terkena. Apa yang saya perhatikan di Puduraya masih ramai ulat. Cuma orang ramai sudah tidak berani membeli tiket daripada mereka,"katanya.Di Hentian Duta, para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan melakukan pemantauan dengan memeriksa keadaan bas dan pemandu bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin untuk pulang berhari raya.-- BERNAMA
Monday, October 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment